KOTA KINABALU, 3 April – Polis Sabah bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen.
Tanpa menyebut jumlah anggota bertugas, Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Ramli Din berkata semua pegawai dan anggotanya sudah bersiap sedia untuk dikerahkan.
“Di samping itu, kita juga melibatkan 600 anggota Pasukan Sukarelawan Simpanan Polis pada PRU14 ini.
“Kita juga tidak (hantar anggota) menolong atau membantu di luar (negeri lain) dan di luar pun tidak membantu kita. Kita berdikari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Hari Polis Ke-211 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah Dr Tan Bee Hwai.
Ramli juga berkata pegawai dan anggota di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) mencukupi dan bersiap sedia serta akan memberi tumpuan kepada beberapa kawasan panas yang dikenal pasti di negeri ini.
Mengenai program itu, beliau berkata kira-kira 400 pegawai dan anggota polis turut menderma darah bagi mengisi tabung darah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di sini. – Bernama