SANDAKAN, 24 Julai – Polis Sandakan berjaya menyelesaikan 11 kes selepas menangkap 17 lelaki dalam operasi dua minggu yang bermula awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Azhar Hamin berkata suspek berusia antara 19 dan 61 tahun berkenaan dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah, harta benda, samun dan curi motosikal di sekitar daerah ini.
Suspek merangkumi sembilan warga tempatan dan lapan warga asing, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya 10 daripada suspek turut positif dadah jenis syabu. Dalam tangkapan itu polis turut merampas 32 unit barangan curi, sebuah motosikal curi yang diubah suai dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, katanya.
Azhar berkata kejayaan itu merupakan hasil kerjasama yang diberikan masyarakat awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis. – Bernama