KUCHING, 11 NOV – Polis Sarawak akan mengambil tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap sindiket pengedaran dadah di negeri ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata tindakan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan pihaknya kini dalam proses mengumpul maklumat berkaitan.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengedar dadah atau ahli sindiket yang lazimnya ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum ini.
“Sekiranya terdapat keterangan mencukupi, kita akan mengambil tindakan di bawah SOSMA.
Ini merupakan satu amaran kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan sindiket dan pengedaran dadah.
“Apabila tindakan diambil di bawah kesalahan jenayah terancang, ia bukan sahaja melibatkan pengedar besar tetapi juga pengedar kecil bagi melumpuhkan keseluruhan rangkaian aktiviti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, hari ini. – Bernama


