Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Sarawak lupus dadah, racun

    KUCHING, 23 SEPT – Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini melupuskan pelbagai barang kes dadah dan racun melibatkan 11,004 kes dari 2017 hingga 2024 bernilai RM1,471,837.24.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata kesemua kes itu mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 yang telah selesai siasatan serta perbicaraan di mahkamah.

    “Pelupusan barang kes ini dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah.

    “Pelupusan dilakukan menggunakan kaedah loji rawatan termal (insinerator) di Trienekens Sarawak Sdn Bhd, Kuching Integrated Waste Management Park, syarikat bertauliah yang dilantik Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan.

    Mancha berkata antara barang kes yang dimusnahkan termasuk serbuk ekstasi (5.4 kilogram (kg), syabu (9.7kg) serta ganja (1.1kg), pil Erimin 5 (1.2kg), pil Nospan (7.4kg), ketamin (267.70 gram), pil ekstasi (231.01 gram), air ketum (2 liter) dan 7,852 botol urin. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda