Polis Sarawak sedia hadapi pilihan raya

KUCHING, 17 NOV – Polis Sarawak telah melakukan segala persiapan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) berdasarkan kekangan sumber termasuk tenaga kerja, berikutan penularan COVID-19, kata Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Aidi Ismail.

“Setakat ini, saya difahamkan kontinjen polis Sarawak tidak akan dapat bantuan dari luar oleh kerana masalah COVID-19 ini. Bagaimanapun dengan kekuatan yang ada sekarang ini, saya yakin kita mampu untuk mengawal keselamatan di negeri ini dengan sempurna jika PRN Sarawak diadakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas menyaksikan serah terima tugas di antara Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu Datuk Fisol Salleh dan pemangku Timbalan Pesuruhjaya SAC Mohd Hairuddin Che Hamid, di sini hari ini.

Aidi berkata pihaknya juga telah membuat pesanan alat perlindungan diri (PPE) bagi menampung keperluan anggota yang akan berada di barisan hadapan semasa PRN itu kelak.

Sementara itu, beliau berkata penjawat awam dari Semenanjung yang bekerja di Sarawak, khususnya guru yang kini bercuti panjang disebabkan penutupan sekolah, mereka boleh memohon permit untuk rentas negeri sekiranya ingin pulang ke kampung halaman. – Bernama