MADRID, 12 OKT – Polis Sepanyol kelmarin berkata mereka telah menahan seorang individu selepas menemui 250 haiwan mati, kebanyakannya anjing, di sebuah gudang kotor yang digelar media tempatan sebagai ‘tempat pembiakan ngeri’.
Pasukan Pengawal Awam Sepanyol memaklumkan bahawa lokasi haram di kampung Meson do Vento, barat laut Sepanyol itu mempunyai tahap kebersihan dan kebajikan haiwan yang amat teruk, dengan sangkar ‘dipenuhi najis sepenuhnya’.
Haiwan-haiwan yang mati, termasuk 28 ekor anjing chihuahua dan beberapa ekor burung, berada dalam “pelbagai peringkat pereputan, malah ada yang telah menjadi mumia,” menurut kenyataan pasukan itu.
Pengawal Awam turut menyelamatkan 171 haiwan lain, termasuk spesies burung eksotik dan dilindungi seperti burung macaw dan kakak tua, yang ditemui dalam keadaan mengancam nyawa. Haiwan-haiwan yang masih hidup itu dilaporkan terpaksa memakan bangkai haiwan lain akibat kekurangan makanan dan air. – AFP


