Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Sepanyol tumpas sindiket penyeludupan kanak-kanak migran ke Perancis

    MADRID, 14 NOV – Polis Sepanyol berjaya menumpaskan satu sindiket jenayah terancang yang menyeludup kanak-kanak migran dari Kepulauan Canary ke Perancis, dengan 11 individu ditahan, menurut pihak berkuasa kelmarin.

    Siasatan bermula selepas 14 kanak-kanak hilang dari pusat jagaan remaja di pulau Lanzarote dan Gran Canaria, kata Polis Kebangsaan Sepanyol dalam satu kenyataan.

    Pada Mei lalu, pegawai polis menahan seorang lelaki warga Mauritania di Lapangan Terbang Lanzarote ketika dia cuba menaiki penerbangan ke Madrid bersama tiga individu yang nampaknya di bawah umur.

    Lelaki berkenaan dan salah seorang kanak-kanak tersebut telah ditahan selepas didapati kanak-kanak terbabit berada di bawah jagaan sebuah pusat penjagaan di pulau berkenaan.

    Siasatan lanjut seterusnya mendedahkan kewujudan ‘rangkaian terancang’ dengan logistik di Maghribi, hubungan dengan pihak di Ivory Coast bagi pemalsuan dokumen, serta kemudahan sementara di Sepanyol untuk menempatkan kanak-kanak sebelum mereka diseludup ke Perancis.

    Polis turut merampas dokumen, peranti elektronik dan wang tunai hasil serbuan di dua buah rumah di Lanzarote.

    Secara keseluruhan, sembilan suspek ditahan di Lanzarote, manakala seorang masing-masing di Madrid dan Gran Canaria. Mereka kini berdepan pertuduhan memalsukan dokumen, menculik kanak-kanak, penglibatan dalam organisasi jenayah serta pornografi kanak-kanak. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda