BELGRADE, 30 JUN – Polis Serbia telah membersihkan sekatan jalan di ibu negara Belgrade awal pagi hari ini yang didirikan sebagai sebahagian daripada protes susulan gelombang penahanan penunjuk perasaan anti-kerajaan, selepas satu perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya parlimen awal.
Ribuan penunjuk perasaan meletakkan pagar logam dan tong sampah di pelbagai lokasi di Belgrade dan beberapa kawasan lain di seluruh negara semalam, termasuk di sebuah jambatan utama merentasi Sungai Sava di ibu negara. Penunjuk perasaan menyatakan mereka merancang untuk kembali pada hari ini.
Polis dalam kenyataan memaklumkan bahawa beberapa individu telah ditahan, namun tidak menyatakan jumlahnya. Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan kenderaan polis memecut laju merempuh sekatan di salah satu jalan di Belgrade, menyebabkan orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik.
Sekatan jalan itu merupakan sebahagian daripada penentangan berterusan terhadap kerajaan pimpinan Presiden populis Aleksandar Vucic, yang tercetus selepas runtuhan bumbung stesen kereta api di utara negara itu mengorbankan 16 orang.
Penunjuk perasaan menuntut keadilan untuk mangsa tragedi runtuhan yang berlaku di Novi Sad pada 1 November, yang menurut ramai rakyat Serbia berpunca daripada kecuaian dalam projek infrastruktur kerajaan akibat rasuah. – AP
