Thursday, February 6, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis serbu kontena makmal proses dadah

    SHAH ALAM, 6 FEB – Polis menyerbu sebuah kontena di Kampung Bukit Cerakah, Klang yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah haram dan menahan dua orang lelaki pada 30 Januari lepas.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata hasil serbuan pada 3 petang itu, polis merampas 440 gram ketulan kristal methamphetamine, 1.03 kilogram (kg) cecair methamphetamine dan 53.03kg serbuk ephedrine, pelbagai peralatan dan bahan kimia bagi tujuan penghasilan dadah.

    “Kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang, serta seorang buruh lelaki warga asing berumur 37 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, direman tujuh hari sehingga 6 Februari,” katanya pada sidang media, hari ini.

    Hussein berkata, polis percaya aktiviti itu berjalan lebih dua bulan di sebidang tanah yang mulanya disewa bagi tujuan memproses minyak namun terbengkalai, dan kontena itu telah digunakan untuk memproses dadah, selain tempat tersebut agak terlindung daripada penglihatan orang ramai.

    “Soal bagaimana mereka mendapatkan bahan untuk memproses dadah dan bagaimana mereka belajar membuatnya itu masih dalam siasatan, dan kita percaya kontena itu berpindah randah berdasarkan peralatannya,” katanya. – Bernama

    Hussein ketika sidang media sempena perayaan Thaipusam Op Palu 2024 di Martek, Batu Caves, pada 22 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda