SEOUL, 16 APRIL – Polis Korea Selatan hari ini menyerbu pejabat bekas Presiden, Yoon Suk Yeol dan pasukan keselamatannya, sebagai sebahagian daripada siasatan jenayah yang semakin meluas terhadap bekas pemimpin yang telah dipecat itu.
Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu dengan menghantar tentera bersenjata ke parlimen, sebelum menarik balik keputusan tersebut. Tidak lama selepas itu, beliau dilucutkan jawatan melalui proses pemecatan oleh ahli parlimen, namun enggan menyerah diri selama berminggu-minggu meskipun disiasat dalam kes jenayah.
Selepas kebuntuan yang berlarutan, di mana pasukan keselamatannya memainkan peranan penting, Yoon akhirnya menjadi ketua negara pertama Korea Selatan yang ditangkap semasa masih memegang jawatan pada Januari. Bagaimanapun, beliau kemudian dibebaskan atas alasan prosedur.
Dalam kenyataan hari ini, polis berkata mereka telah memulakan pelaksanaan waran geledah dan rampasan di pejabat presiden dan kompleks kediaman rasmi presiden.
Polis turut merampas pelayan telefon sulit serta menyerbu pejabat pasukan keselamatan presiden Yoon, termasuk rumah ketua keselamatannya, sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung ‘dakwaan menghalang pelaksanaan waran tangkap.’
Pada Januari, Yoon bersembunyi selama beberapa minggu di dalam kompleks kediamannya, dilindungi oleh anggota Perkhidmatan Keselamatan Presiden yang kekal setia kepadanya. Pasukan pengawalnya memasang kawat berduri dan penghadang di sekitar kediaman, memaksa ratusan pegawai polis dan penyiasat memanjat tembok perimeter menggunakan tangga untuk sampai ke bangunan utama.
Ketika itu, Yoon telah didakwa atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam, dan polis memaklumkan minggu ini bahawa ‘secara prinsip’ siasatan lanjut diperlukan.
Polis juga merampas rakaman CCTV dari pejabat presiden sebagai sebahagian siasatan berasingan ke atas bekas Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min. – AFP
