SIBU, 20 NOV – Polis menahan 15 lelaki dalam satu serbuan di kawasan hutan di Jalan Hing Kwong, Kelupu, Bintangor, terletak lebih 40 kilometer dari sini, yang menjadi sarang aktiviti jual beli dadah serta lengkap dipasang kawat berduri dan pagar kayu.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering, berkata mereka yang ditahan dalam serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah itu semalam terdiri dari 14 warga tempatan berusia 19 hingga 40 tahun dan seorang warga Indonesia berusia 38 tahun.
“Ujian air kencing mendapati 13 lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia positif dadah jenis metamfetamina dan amfetamina manakala lelaki tempatan yang negatif dadah dilepaskan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati tujuh daripada mereka pernah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semasa serbuan dilakukan, penjual dadah telah melarikan diri dan polis mendapati dua pondok didirikan di kawasan itu yang dipercayai menjadi tempat mereka berehat serta menunggu penagih mendapatkan bekalan,” katanya.
Tansli berkata hasil pemeriksaan di pondok terbabit menemukan beberapa straw kosong namun tiada sebarang dadah dijumpai.
“Pengedar dadah memasang kawat berduri di bahagian hadapan bagi menyukarkan dan melambatkan pihak polis membuat serbuan sekali gus memberi peluang kepada mereka melarikan diri dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata hasil siasatan setakat ini, polis percaya urusan jual beli dadah hanya dilakukan melalui ruang pagar kayu yang dilengkapi kawat berduri berkenaan bagi menghalang penagih daripada memasuki bahagian dalam sarang berkenaan.
Tansli berkata pihaknya akan mempergiat operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi mengekang dan membendung gejala dadah di Daerah Meradong sehingga ke peringkat akar umbi. – Bernama

