Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis serbu stor, makmal haram

    SEREMBAN, 18 MAC – Polis merampas pelbagai dadah seberat 274.14 kilogram dianggar bernilai RM38.9 juta dalam serbuan di stor dan makmal pemprosesan haram di empat lokasi berasingan Khamis lepas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata antara dadah dirampas ialah 335.5 gram (g) ketamin, heroin (2,058g), syabu (12,044g), serbuk ekstasi (80,201g), pil ekstasi (125,258g), pil eramin 5 (39,242g) dan ganja (15,00g) yang dipercayai boleh digunakan 442,548 penagih.

    Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kenderaan, wang tunai dan sejumlah barang kemas dianggar bernilai RM253,413.

    “Serbuan dijalankan selepas polis bertindak daripada maklumat dan risikan sejak tiga bulan lepas di lokasi membabitkan Kawasan Industri Ringan Jalan Tun Dr Ismail, serta tiga rumah yang dijadikan inap desa sekitar Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya.

    “Dalam serbuan di Kawasan Industri Ringan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan merampas pelbagai dadah dianggar bernilai RM239,130,” katanya pada sidang media hari ini.

    Beliau berkata hasil siasatan terhadap lelaki itu yang dipercayai berperanan sebagai penjaga kawasan di situ, polis menyerbu ketiga-tiga rumah terbabit yang dijadikan stor penyimpanan dadah. – Bernama

    Ahmad Dzaffir menunjukkan barangan pemprosesan dadah yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada 18 Mac. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda