SUVA, FIJI, 2 JAN – Polis Fiji sedang menyiasat dakwaan kecurian dan serangan seksual ke atas dua anggota kru Virgin Australia pada awal Hari Tahun Baharu, menurut kenyataan kerajaan hari ini.
Kejadian dakwaan serangan tersebut berlaku kelmarin di kawasan kelab malam di bandar Nadi, yang merupakan lokasi bagi lapangan terbang antarabangsa negara tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Viliame Gavoka.
Anggota kru tersebut kini berada di sebuah hotel tempatan yang digunakan oleh syarikat penerbangan untuk penginapan sementara.
Mereka dijadualkan pulang ke negara asal minggu ini selepas membantu polis dalam siasatan, menurut menteri tersebut.
Virgin Australia telah menghantar wakil ke Fiji untuk memberikan sokongan kepada kakitangan yang terlibat.
Kementerian Hal Ehwal Luar Australia tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan untuk maklumat lanjut. – AFP