Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis siasat rumah amal berkaitan GISBH

    KUALA LUMPUR, 23 SEPT – Polis menyiasat kemungkinan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) menipu untuk mendapatkan derma orang ramai dengan mendakwa 572 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal kendalian syarikat itu dan diselamatkan ketika Op Global, ialah anak yatim sedangkan mereka merupakan anak-anak ahli syarikat itu.

    Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan juga mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah-rumah amal berkenaan diajar supaya mengatakan tidak mengenali ibu bapa mereka yang terdiri daripada ahli-ahli syarikat terbabit.

    “Mereka tak akan cakap ini anak mereka, mereka akan dakwa ini anak yatim kerana ada antara mereka berbin dan berbinti Abdullah. Ia mungkin satu penipuan untuk mendapatkan sumbangan dan sumbangan ini digunakan dengan cara lain,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata kesalahan berkenaan boleh disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan oleh sebab itu juga, ada ahli-ahli syarikat terbabit yang disoal siasat tidak mengaku kanak-kanak berkenaan ialah anak mereka.

    Razarudin berkata siasatan turut mendapati ada antara ahli yang mempunyai empat isteri dan 34 anak serta menempatkan anak-anaknya di rumah-rumah amal syarikat itu.

    “Daripada 34 anak, hanya dua orang yang tinggal dengan dia. Kalau kita tanya nama 32 nama anak yang lain pun mungkin dia tak tahu,” katanya.

    Dalam pada itu, Razarudin berkata setakat ini, sebanyak 138 akaun berkaitan GISBH telah dibekukan membabitkan wang berjumlah RM882,795.94 dan 15 lagi akaun telah ditutup.

    Razarudin berkata selain itu, sebanyak 22 kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1,872,085 dan 14 lot hartanah yang nilainya masih dalam siasatan turut dibekukan.

    “Sebanyak 16 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2,078,000 disita dan merampas 26 ekor haiwan terdiri daripada sembilan ekor kuda, 14 ekor arnab dan tiga ekor burung merak, serta wang tunai RM18,650,” katanya.

    Beliau berkata tindakan pembekuan dilakukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) manakala penyitaan di bawah Seksyen 45(2) akta sama.

    Pada masa yang sama, Razarudin turut menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mengatakan polis mengabaikan haiwan yang dirampas, sebaliknya Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta pihak berkuasa tempatan telah bekerjasama bagi memeriksa serta menjaga haiwan-haiwan berkenaan. – Bernama

    Gambar bertarikh 23 September menunjukan Razarudin semasa sidang media berkaitan ahli GISB yang didapati masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda