SIBU, 6 OGOS- Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terjatuh ke dalam sistem pembetungan berhampiran Jalan Wong Soon Kai di sini, pada petang Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak dalam keadaan yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.
“Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Kertas siasatan juga dibuka dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata polis menerima laporan kejadian pada jam 11.09 malam, Isnin lalu daripada seorang pegawai perubatan Hospital Sibu yang memaklumkan mengenai kematian seorang kanak-kanak.
“Mangsa ditemukan pasukan bomba di dalam sistem pembetungan berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut. Ketika tiba di hospital, mangsa berada dalam keadaan basah, pucat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hayat, sebelum disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan hospital itu,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.29 petang, dan sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan oleh bapa mangsa anaknya telah hilang dan dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembetung.
Mangsa dikatakan sering menemani bapanya mengutip kotak terpakai di kawasan komersial itu. Semasa kejadian, mangsa dipercayai keluar dari kereta untuk mencari bapanya sebelum terjatuh ke dalam lubang pembetung yang tidak bertutup. – Bernama


