FREETOWN, 6 FEB – Polis di Sierra Leone berkata mereka sedang memburu pengedar dadah warga Belanda yang merupakan antara pelarian paling dikehendaki di Eropah dan dipercayai bersembunyi di negara Afrika barat itu.
Jos Leijdekkers telah dijatuhkan hukuman tanpa kehadiran oleh mahkamah Rotterdam pada Jun tahun lalu hingga 24 tahun penjara kerana mengatur pengangkutan tujuh tan kokain dan mengarahkan pembunuhan.
Sangkaan bahawa dia berada di Sierra Leone timbul selepas Wanita Pertama negara itu, Fatima Bio, menyiarkan gambar dan video di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki menyerupai Leijdekkers pada upacara keagamaan yang dihadiri Presiden Julius Maada Bio.
Ketua Polis Negara, William Fayia Sellu, berkata penyiasat telah mengenal pasti lelaki dalam gambar itu sebagai Leijdekkers, alias Omar Sheriff.
“Pemburuan polis telah dilancarkan untuk menangkapnya, dengan melawat beberapa lokasi, akan tetapi dia masih belum ditemui,” katanya pada sidang media.
Lelaki berusia 33 tahun itu berada dalam senarai paling dikehendaki Agensi Penguatkuasaan Undang-undang Kesatuan Eropah, Europol. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P20-5E-Pexels_07022025.jpg)