Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Sweden sita aset mewah bernilai hampir AS$1 juta

    STOCKHOLM, 15 NOV – Seminggu selepas diberikan kuasa untuk menyita barangan mewah daripada individu yang tidak disyaki melakukan jenayah, polis Sweden hari ini mengumumkan mereka telah menyita barangan bernilai hampir AS$1 juta.

    Undang-undang tersebut, yang diluluskan oleh parlimen pada 2 Oktober dan berkuat kuasa pada 8 November, adalah sebahagian daripada tindakan tegas kerajaan sayap kanan terhadap kumpulan jenayah terancang.

    Undang-undang itu membolehkan polis merampas kereta, jam tangan emas dan barangan mewah lain daripada individu, termasuk golongan bawah umur yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah, apabila barangan tersebut dipercayai dibeli dengan wang hasil aktiviti haram, walaupun individu tersebut tidak disyaki secara rasmi melakukan jenayah.

    Sebagai contoh, sebuah kereta sport mewah yang dipandu oleh individu yang menganggur tanpa pendapatan sah dan tidak dapat menjelaskan bagaimana mereka membayarnya.

    Polis menyatakan hari ini telah bertindak dalam 56 kes, merampas wang tunai dan barangan termasuk kereta, motosikal, jam tangan dan beg yang bernilai lebih AS$910,000.

    Penyitaan boleh dimulakan oleh polis tetapi perlu mendapatkan kelulusan mahkamah.

    Menurut polis, setakat hari ini, tiada kes daripada 56 kes tersebut yang dibawa ke mahkamah.

    Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson berkata dalam satu sidang media minggu lalu bahawa undang-undang baharu yang telah menimbulkan kontroversi itu adalah ‘reformasi terbesar sejak kanun jenayah diperkenalkan’ pada tahun 1965. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda