SYDNEY, 29 JULAI – Polis di bandar terbesar Australia telah meminta pihak tentera untuk membantu menguatkuasakan sekatan pergerakan koronavirus ketika jangkitan di Sydney mencecah rekod baharu hari ini.
Pesuruhjaya Mick Fuller berkata polis New South Wales telah meminta 300 kakitangan Pasukan Pertahanan Australia untuk dikerahkan ‘bagi meningkatkan jejak operasinya’.
Bandar mempunyai lima juta penduduk itu menjalani sekatan pergerakan minggu kelima yang ditetapkan berlangsung sehingga hujung Ogos ini.
Arahan duduk di rumah telah gagal untuk mengurangkan jangkitan baharu kepada sifar dengan pematuhan tidak lengkap.
Penduduk Sydney hanya dibenarkan untuk meninggalkan rumah untuk melakukan senaman, kerja penting, urusan perubatan dan membeli barang keperluan seperti makanan.

Namun selama berminggu-minggu, taman-taman dan sesiaran pantai telah dipenuhi warga Sydney yang meminum kopi dan melepak bersama rakan.
Polis telah mengenakan hukuman denda kepada mereka yang melanggar sekatan dan Fuller berkata usaha itu akan ditingkatkan dalam masa beberapa hari akan datang.
Minggu lalu ribuan orang berkumpul di tengah Sydney untuk membantah langkah tersebut dan tunjuk perasaan selanjutnya telah diadakan.
Polis juga meminta lebih banyak kuasa-kuasa untuk menutup perniagaan yang mereka katakan tidak mematuhi peraturan ke atas penjarakan sosial.
Para pegawai telah mengumumkan sebanyak 239 jangkitan baharu di Sydney, jumlah pecah rekod yang kini menjadikan kes keseluruhan kepada 2,810. – AFP