SIBU, 23 JULAI – Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan disyaki terlibat kejadian rusuhan di tapak pasar malam Sibu di Jalan Cross, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP, Zulkipli Suhaili dalam kenyataan hari ini berkata tangkapan ke atas ketiga-tiga lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu dibuat sejurus menerima laporan kejadian berkenaan pada 8:46 malam.
Beliau berkata semakan polis mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis kini giat mengesan suspek lain yang masih bebas.
Kejadian dilaporkan berlaku apabila seorang individu yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk melakukan gangguan dan merosakkan gerai-gerai jualan di pasar malam berkenaan.
Berang dengan perbuatan tersebut, beberapa individu membelasah suspek menyebabkan dia mengalami kecederaan. – Bernama


