JAKARTA, 13 JUN – Pihak berkuasa Indonesia kelmarin berkata bahawa mereka telah menahan enam suspek dalam sindiket pemburuan haram antarabangsa yang menyasarkan badak Jawa, spesies yang sangat terancam.
Suspek-suspek itu merupakan sebahagian daripada rangkaian yang menggunakan senjata api buatan sendiri untuk membunuh kira-kira 26 ekor badak Jawa sejak 2018 bagi mendapatkan tanduknya. Tanduk itu mendapat permintaan tinggi di Asia yang kebanyakannya digunakan dalam perubatan tradisional Cina dan semakin banyak digunakan untuk membuat perhiasan, kata ketua polis wilayah Banten Abdul Karim.
Beliau berkata enam lelaki itu ditahan dalam operasi bersama oleh polis dan Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar bulan lalu. Salah seorang ketua sindiket itu, Sunendi, telah ditangkap tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda $100 juta rupiah.
Polis dan sepasukan pengawal dari Taman Negara Ujung Kulon Banten sedang mencari lapan lagi anggota sindiket itu, kata pegawai.
Karim berkata siasatan mendapati Sunendi, yang menggunakan nama tunggal seperti kebanyakan warga Indonesia, dan sembilan yang lain telah membunuh 22 ekor badak jawa sejak 2018, manakala kumpulan lain membunuh empat lagi sejak 2021. Mereka menjual tanduk itu kepada pembeli China melalui pengendali tempatan yang sedang dalam perbicaraan.
Polis merampas senjata api buatan sendiri, peluru, serbuk pistol, tali gantung keluli dan peralatan lain yang digunakan untuk memburu badak.
Ketua penguatkuasaan undang-undang di Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar, Rasio Ridho Sani, berkata populasi badak Jawa semakin berkurangan dan hanya tinggal kira-kira 80 haiwan dewasa, kebanyakannya di Taman Negara Ujung Kulon di barat pulau Jawa utama Indonesia. Ia diancam oleh kemusnahan habitat hutan tropika dan pemburu haram, katanya. – AP