Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tahan lima sekawan, bongkar makmal proses dadah

    GEORGE TOWN, 11 NOV – Lima sekawan yang aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar dadah ditahan, selain pelbagai jenis dadah bernilai RM3 juta dirampas dalam tiga serbuan serentak yang dijalankan di sekitar negeri ini pada 6 November lepas.

    Serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira 9:50 malam itu turut berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik sebuah rumah teres satu tingkat yang disewa.

    Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan di rumah terbabit di Tanjung Bungah, polis menahan tiga lelaki berumur 32 hingga 54 tahun yang merupakan pakar memproses dadah.

    “Suspek ketiga berumur 32 tahun merupakan chemist (tukang proses dadah) manakala suspek pertama dan kedua masing-masing berumur 53 dan 54 tahun bertindak sebagai pembantunya.

    “Pemeriksaan lanjut terhadap rumah itu turut menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam sebuah bilik dan bahan kimia seberat 40,648 gram (g) serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini hari ini.

    Khaw berkata suspek keempat berumur 59 tahun yang juga koordinator ditahan di sebuah pangsapuri di Ayer Hitam manakala suspek kelima, 46, ditahan di sebuah kedai di Jalan Yeoh Guan Seok dekat George Town. Hasil semua serbuan itu katanya, polis merampas 13,991g pil dan serbuk ekstasi, 6,029g syabu dan 4,997g ketamin selain menyita dua kereta dan sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan ialah RM3.1 juta.

    Khaw berkata modus operandi digunakan sindiket ialah menjadikan rumah sewa sebagai makmal dan stor menyimpan dadah dengan kadar sewa RM2,500 sebulan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan terutama di Pulau Pinang dan Lembah Klang. – Bernama

    Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Hasanah Jamil menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda