Polis Tawau buru tiga tahanan positif COVID-19

TAWAU, 5 SEPT – Polis sedang giat memburu tiga tahanan lelaki positif COVID-19 yang meloloskan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Arena di sini pada 12:30 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata dua tahanan iaitu Niko Matheus, 25, dan Hashim Muhamad Syata, 34, merupakan warga Indonesia manakala seorang lagi Jimnajir Annor, 23,  warga Filipina.

“Ketiga-tiga mereka ini ditempatkan di PKRC Dewan Arena di sini bersama 16 tahanan lain, siasatan awal mendapati mereka mengumpil keluar dawai besi di tandas untuk melarikan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Peter berkata, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas Ops Tutup dengan melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik termasuk di jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di sini bagi mengesan semua suspek terbabit.

“Polis yakin ketiga-tiga tahanan ini masih berada di Tawau, kita juga melaksanakan operasi Ops Kesan dengan mewujudkan pasukan pengesan terdiri daripada pelbagai unit polis,” katanya. – Bernama

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas (dua, kiri) menunjukkan foto salah seorang daripada tiga banduan kepada pemandu kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Batu 2, Jalan Apas dalam usaha mengesan banduan berkenaan yang telah meloloskan diri dari tahanan di Pusat Kawalan Rawatan COVID-19 di Arena Belia Tawau. – Bernama