Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tembak empat penjenayah warga asing

    KUALA LUMPUR, 13 NOV – Empat lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam 44 kes pecah rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang, maut dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah residensi di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata dalam kejadian 11.30 malam tadi menerusi OpTebuk, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Kuala Lumpur telah menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat 17 residensi terbabit sebelum suspek melepaskan tembakan ke arah polis.

    “Bagi mempertahankan diri dalam usaha meneruskan tindakan (tangkapan), berlaku kejadian berbalas tembakan sehingga polis menumpaskan (tembak mati) empat lelaki terbabit,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian tengah malam tadi.

    Rusdi berkata pemeriksaan mendapati suspek bersenjatakan dua parang dan dua pistol yang disyaki digunakan untuk menyerang anggota polis.

    Beliau berkata siasatan mendapati empat lelaki terbabit disyaki terlibat dalam 44 kes tebuk peti besi membabitkan 28 kes di Kuala Lumpur dan 16 kes di Selangor sejak 2018 yang melibatkan kerugian RM4.3 juta.

    Suspek katanya, menyasarkan pejabat dan kediaman yang tidak berpenghuni sebelum menebuk peti besi di dalam premis berkenaan dan melakukan jenayah itu pada waktu malam.

    “Mereka (suspek) dilaporkan melakukan jenayah sama dua hari lepas di Sri Hartamas sebelum menyembunyikan diri di lokasi yang kita serbu. Kita percaya mereka ini menjadikan unit kediaman mewah di sini sebagai tempat merancang jenayah, berehat dan menyembunyikan diri,” katanya.

    Mengulas lanjut, Rusdi berkata kesemua suspek mempunyai pasport dan sering keluar masuk negara ini.

    Katanya, polis meneruskan siasatan bagi mengesan individu yang mempunyai kaitan dengan empat lelaki terbabit.

    Beliau berkata mayat kesemua suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat. – Bernama

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda