LYONS, 31 OGOS – Dua orang adik beradik memberitahu pihak polis bahawa mereka telah menanam mayat ibu dan saudara perempuan mereka di halaman belakang rumah mereka yang terletak di pinggir bandar Chicago beberapa tahun lalu ketika pihak berkuasa terus membuat siasatan terhadap dua mayat yang ditemui hujung minggu lalu.
Kedua-duanya adik beradik tersebut, berusia 41 dan 45 tahun, dibebaskan kelmarin setelah ditahan 48 jam untuk memberi kerjasama dengan pejabat peguam negara Cook County. Mereka ditahan Sabtu lalu selepas dua mayat ditemui di halaman belakang rumah di Lyons.
Mayat-mayat tersebut belum dapat dikenal pasti dan penyiasat mengatakan bahawa mereka akan menggunakan ujian DNA untuk menentukan sama ada mayat itu adalah saudara kandung mereka.
Ketua Polis Lyons, Tom Herion berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa sementara mereka dibebaskan, mereka ‘terus menjadi subjek siasatan kematian itu’.
Adik-beradik itu tidak didakwa, tetapi berdepan dengan kemungkinan tindakan kesalahan kerana menanam secara salah mayat yang mereka temui pada Sabtu lalu.
Herion mengatakan polis Lyons ‘melihat setiap aspek adik-beradik dan si mati, termasuk memeriksa rekod kewangan dan menentukan punca kematian dua mayat yang digali’. “Kami terus meneliti kes itu dengan bantuan Pemeriksa Perubatan Cook County yang sedang melakukan penilaian forensik terhadap mayat yang dikeluarkan dari halaman belakang rumah,” kata Herion.
Mereka memberitahu polis bahawa saudara perempuan mereka itu menolak ibu mereka, yang berusia 70-an di tangga rumah pada tahun 2015, menyebabkan kecederaan di kepala dan kematiannya. Mereka juga memberitahu polis bahawa adik perempuan mereka meninggal pada tahun 2019.
Tidak ada rekod mengenai kematian tersebut, kata Herion minggu lalu. Dia berkata salah seorang daripadanya membawa polis ke tempat mayat itu ditanam dan memberitahu bahawa mereka ditanam di halaman kerana alasan kewangan. – AP
