NICOSIA, CYPRUS, 24 JULAI – Polis di Cyprus menemui dua mayat dalam sebuah kereta yang hangus terbakar hari ini selepas kebakaran hutan besar memusnahkan kira-kira 100 kilometer persegi kawasan perbukitan berhutan.
Kebakaran itu memusnahkan banyak rumah dan penduduk terpaksa dipindahkan dari belasan buah kampung di bahagian selatan pergunungan Troodos.
Lewat kelmarin, polis pada awalnya melaporkan anggota Pertahanan Awam menemui satu mayat rentung dalam kenderaan yang berada di jalan utama yang menghubungkan beberapa kampung dilanda kebakaran. Manakala mayat kedua ditemui awal pagi tadi dan pihak polis kini sedang menjalankan usaha pengecaman identiti.
Gambar yang dimuat naik ke media sosial dipercayai menunjukkan kenderaan mangsa hangus terbakar di tepi jalan utama Monagri-Alassa.
Jurucakap Perkhidmatan Bomba, Andreas Kettis, memberitahu agensi berita Cyprus tiada lagi bahagian kebakaran yang aktif ketika ini, namun anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan beberapa kebakaran kecil yang masih marak.
Angin yang dijangka bertiup kencang sebelah petang turut menyukarkan operasi.
Sehingga 14 pesawat dikerahkan semula untuk menjalankan pengeboman air di kawasan sukar dicapai.
Menteri Kehakiman Cyprus, Marios Hartsiotis, memberitahu penyiar rasmi negara lebih 100 orang telah dipindahkan dari kawasan terjejas kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara. – AP
