Friday, February 7, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis temui mayat dalam tong

    MALIBU, 1 OGOS – Satu mayat yang disumbat dalam tong ditemui di sebuah pantai di Malibu, kelmarin, yang merupakan kawasan peranginan di California yang disukai oleh orang kaya dan terkenal, kata polis.

    Laporan menyatakan mayat lelaki itu disumbat masuk ke dalam tong 55 gelen dan ditemui oleh pekerja penyelenggaraan.

    Detektif Homisid dari Syerif Daerah Los Angeles sedang menyiasat kes itu, kata jabatan tersebut. Ia tidak mendedahkan identiti lelaki yang mati atau punca kematiannya.

    Penyiar ABC7 melaporkan tong itu pertama kali dilihat terapung di Pantai Negeri Malibu Lagoon oleh pekerja sanitasi pada petang Ahad.

    Gambar AFP menunjukkan tong yang tertutup terletak tegak di air cetek di tempat yang berhampiran dengan Jeti Malibu.

    Pegawai polis berdiri di sebelah tong tempat mayat ditemui di Pantai Negeri Malibu Lagoon, California, 31 Julai. – AFP

    Malibu, yang terletak di pinggir pantai yang menarik kurang dari sejam dari Los Angeles, merupakan kediaman kepada selebriti termasuk penyanyi Coldplay, Chris Martin dan pelakon Friends, Courteney Cox.

    Julia Roberts, Cindy Crawford, Leonardo DiCaprio dan Paris Hilton semuanya pernah menjadi penduduk di tempat peranginan yang santai itu.

    Difahamkan bahawa tong-tong itu adalah kaedah pelupusan yang digemari oleh samseng yang ingin membuang mayat.

    Tahun lalu, air Tasik Mead yang semakin surut mendedahkan rangka mangsa pembunuhan yang mayatnya telah disumbat ke dalam sebuah tong, menurut pemerhati mafia, kemungkinan perbuatan samseng dari Las Vegas yang berdekatan beberapa dekad sebelumnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda