CHICAGO, 1 Ogos – Polis Texas berjaya menemui semula jerung kecil yang diseludup keluar dari akuarium dalam kereta sorong anak damit oleh tiga pencuri dan menahan seorang daripada suspek.
Polis menemui jerung itu awal kelmarin, dua hari selepas ia dicuri dari Akuarium San Antonio dalam kecurian nekad pada waktu tengah hari.
Tiga pencuri yang dirakam melalui video keselamatan dilihat memindahkannya dari tempat pameran, meletakkannya di dalam baldi dan menyeludup keluar dengan kereta sorong anak damit. Mereka melarikan diri dengan trak merah.
Polis menemui trak itu melalui satu maklumat yang membantu mereka mengesan kenderaan itu kelmarin di rumah Antone Shannon, menurut laporan San Antonio Express-News.
Lelaki berusia 38 tahun itu mengaku melakukan jenayah berkenaan dan didakwa mencuri. Jerung berkenaan berada dalam keadaan baik dan dikuarantin. – Bernama