LYON, 4 NOV – Perompak bersenjata yang menggunakan bahan letupan untuk memecah masuk ke sebuah makmal penapisan emas di Lyon minggu lalu melarikan diri dengan logam berharga bernilai AS$32 juta, namun semuanya berjaya ditemui semula oleh polis tidak lama selepas itu, menurut kenyataan seorang pendakwa raya Perancis, kelmarin.
Rompakan berani itu berlaku di bandar timur Lyon pada Khamis lalu, dengan pihak polis bertindak pantas menahan suspek dan merampas 306 kilogram logam berharga, kebanyakannya emas.
Enam individu iaitu lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan tidak lama selepas kejadian di Makmal Pourquery, kata Pendakwa Raya Lyon, Thierry Dran pada sidang akhbar kelmarin.
“Mereka ini penjenayah berpengalaman,” katanya. Lima lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk tiga orang yang pernah disabitkan kesalahan rompakan bersenjata.
Wanita berkenaan, yang tidak mempunyai rekod jenayah dan seorang lelaki menafikan penglibatan mereka, manakala empat yang lain berdiam diri semasa disoal siasat, jelas Dran.
Dia berkata pihak pendakwa telah memohon agar kesemua mereka didakwa atas beberapa pertuduhan termasuk persekongkolan jenayah dan rompakan dengan kekerasan serta ditempatkan dalam tahanan reman sebelum perbicaraan, walaupun belum dapat dipastikan sama ada semua suspek akan menghadapi pertuduhan yang sama.
Pada mulanya, nilai barang rompakan itu dianggarkan sebanyak AS$13.8 juta, namun Dran berkata semalam bahawa nilai sebenarnya ialah AS$32 juta, lebih daripada dua kali ganda anggaran awal.
Serangan ke atas makmal emas itu merupakan insiden terbaharu dalam siri kes kecurian yang mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan yang tidak mencukupi di muzium serta tempat penyimpanan barangan berharga di Perancis. – AFP

