MADRID, 20 FEB – Pihak berkuasa Sepanyol kelmarin mengumumkan penemuan terowong yang disyaki digunakan untuk penyeludupan dadah, yang menghubungkan antara Maghribi dengan enklaf Sepanyol di Ceuta, Afrika Utara.
Terowong yang ditemui semasa operasi yang menyasarkan penyeludupan hasyis, dilengkapi dengan pencahayaan asas dan berukuran 12 meter dalam (39 kaki), menurut polis. Terowong tersebut ditemui semasa pencarian di sebuah gudang di kawasan perindustrian wilayah kecil Sepanyol itu.
Akhbar El País Sepanyol melaporkan terowong itu merentasi sejauh 50 meter di bahagian Sepanyol, dan pintu masuk terowong itu ditemui di bekas kilang marmar yang ditutup pada tahun 2020. Laluan tersebut tersembunyi di bawah sebuah pintu perangkap yang membawa kepada tangga yang menurun ke dalam terowong, menurut laporan akhbar itu.
Terowong sempit itu “mungkin telah digunakan untuk mengangkut dadah merentasi sempadan antara Maghribi dan Sepanyol,” kata Pengawal Awam dalam satu kenyataan.
Tiada tangkapan dibuat berhubung terowong itu dan tiada dadah ditemui di lokasi tersebut.
Polis berkata beberapa orang telah ditahan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk dua pegawai Pengawal Awam, sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pengedaran dadah yang lebih luas, iaitu lebih 6,000 kilogram (6.6 tan) hashish yang disembunyikan dalam trak berjaya dirampas. – AP
