PORT MORESBY, 20 Nov – Anggota tentera dan polis Papua New Guinea (PNG) telah menyerbu parlimen hari ini, merosakkan tingkap dan perabot serta mendesak pembayaran bonus khas sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), beberapa hari setelah sidang kemuncak antarabangsa yang berlangsung di negara itu berakhir, menurut polis dan para saksi.
Negara Pasifik termiskin itu mengadakan sambutan mewah bagi menerima kedatangan para pemimpin dunia pada persidangan yang berlangsung dua hari tersebut, malah berbelanja besar dengan membeli 40 buah kereta mewah Maserati untuk membawa para pembesar dan orang-orang kenamaan.
“Sekumpulan polis dan tentera berada di luar parlimen mendesak pembayaran elaun APEC mereka,” menurut jurucakap polis PNG, Dominic Kakas kepada AFP sambil menambah bahawa pihaknya ‘sedang berusaha menanganinya’.
Kakas berkata tiada sesiapa diketahui mengalami kecederaan dan dia tidak mengetahui berapa ramai anggota polis dan tentera terlibat dalam insiden itu.
Seorang saksi memberitahu AFP bahawa ‘beratus-ratus anggota polis dan tentera’ berhimpun di hadapan parlimen membantah bahawa mereka belum menerima bayaran elaun khas APEC sebanyak AS$104.
“Kejadian yang berlaku di luar parlimen amat tegang dengan puluhan kenderaan polis dan tentera berkawal di sana,” kata saksi berkenaan sambil menambah sebuah hotel berdekatan telah ditutup dan penunjuk perasaan bertindak menghalang laluan jalan raya.
Sebahagian daripada rakaman yang disiarkan oleh ahli parlimen PNG Bryan Kramer di Facebook menunjukkan pasu tanaman yang rosak berkecai, bingkai gambar dihempaskan di atas lantai, kaca pecah bertaburan dan perabot yang rosak berdekatan pintu masuk parlimen.
Penduduk setempat PNG menyuarakan kemarahan mereka terhadap perbelanjaan mewah kerajaan untuk sidang kemuncak berkenaan yang berlaku ketika negara itu bergelut dengan wabak polio dan malaria serta berdepan kesukaran untuk membayar gaji para guru. – AFP
