Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis terima laporan akaun TikTok palsu guna nama Raja Muda Selangor

    SHAH ALAM, 9 JULAI – Polis menerima laporan berkaitan akaun TikTok yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata laporan itu dibuat Istana Selangor semalam selepas mendapati akaun TikTok tersebut bukan milik Raja Muda Selangor dan disahkan adalah palsu.

    Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu penyebaran berita palsu yang menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam atau kepada mana-mana golongan awam dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata dalam kenyataan di sini hari ini.

    Hussein turut menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat akaun media sosial yang melibatkan institusi diraja bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan gambar dan video peribadi kerabat diraja. – Bernama

    Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang pada 26 Jun lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda