Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis terlepas hukuman penjara sebabkan kematian wanita 95 tahun

    SYDNEY, 28 MAC – Seorang hakim Australia menjatuhkan hukuman ke atas seorang polis yang menggunakan taser hingga menyebabkan kematian seorang wanita berusia 95 tahun yang ‘lemah dan keliru’, dengan menjalani kerja komuniti dan bukannya penjara.

    Pesakit rumah jagaan, Clare Nowland meninggal dunia pada Mei 2023 akibat kecederaan yang dialaminya selepas konstabel kanan Kristian White menembaknya dengan senapang kejutan elektrik.

    White menghadapi pendengaran hukuman pada hari ini, selepas dia didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan tanpa niat pada November tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Agung, Ian Harrison berkata White berkata ‘telah membuat kesilapan yang sangat besar.’

    Mangsa, Nowland, pada masa itu ‘kelihatan lemah dan keliru,’ kata hakim, dan tidak menunjukkan ‘apa-apa yang boleh dianggap sebagai ancaman.’

    Kristian White, bekas pegawai polis Australia yang dijatuhkan hukuman kerana membunuh seorang penghuni rumah jagaan dengan taser, meninggalkan Mahkamah Agung NSW di Sydney, pada Jumaat, 28 Mac 2025. – AP

    Walaupun akibatnya membawa maut, hakim mendapati kesalahan White berada pada ‘tahap rendah berdasarkan keseriusan’ atas tuduhan pembunuhan tanpa niat dan tidak wajar dikenakan hukuman penjara.

    Sebagai ganti, White telah diletakkan di bawah ikat jamin tingkah laku baik selama dua tahun dan mesti menyelesaikan 425 jam kerja komuniti.

    White telah dipanggil ke rumah jagaan pada Mei 2023 apabila Nowland yang menunjukkan simptom demensia dan merayau-rayau di lorong dengan sebilah pisau daging.

    Setelah beberapa kali meminta Nowland yang kelihatan teruja untuk melepaskan pisau tersebut, White berkata ‘peduli apa’ dan melepaskan tembakan menggunakan senapang kejutan elektriknya, menurut Mahkamah Agung New South Wales.

    Warga emas wanita itu kemudian jatuh ke belakang, lalu terhantuk di kepala dan meninggal dunia di hospital seminggu kemudian akibat pendarahan otak.

    Nowland dilaporkan mempunyai berat badan kurang daripada 50 kilogram pada masa kejadian dan polis kemudiannya menggambarkannya sebagai ‘lemah’.

    White mengaku tidak bersalah, dengan alasan dia telah mengambil langkah yang sah untuk menyelesaikan sebarang ancaman yang mungkin timbul.

    Polis menolak tuduhan bahawa mereka cuba menutup skandal dengan menghapuskan istilah seperti ‘kejutan elektik’ daripada kenyataan awal yang diberikan kepada media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda