Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thai buru waris Red Bull

    BANGKOK, 3 Mei – Polis Thailand hari ini berkata mereka cuba menjejaki waris Red Bull, Worayuth Yoovidhya yang dilaporkan melarikan diri ke Singapura dengan menggunakan jet peribadinya beberapa hari sebelum satu waran telah dikeluarkan ke atasnya berhubung kejadian langgar lari pada tahun 2012.

    Setelah bertahun-tahun mengelak daripada para pendakwa, wajah jutawan Worayuth, 32 tahun, menjadi contoh bagi orang yang bebas dari hukuman yang dinikmati oleh orang elit di Thailand yang jelas berat sebelah.

    Pihak berkuasa akhirnya mengeluarkan waran baginya minggu lalu selepas dia gagal memenuhi had akhir untuk menemui pihak pendakwa, hampir tiga tahun selepas dia memecut pergi selepas melanggar dan membunuh seorang anggota polis, dengan kereta Ferrari miliknya di pusat bandar Bangkok.

    Namun Worayuth, juga dikenali dengan nama panggilan ‘Boss’, menyelinap keluar dari negara beberapa hari sebelum waran dikeluarkan, menurut pihak polis.

    “Pertama sekali kami mesti mengesan keberadaannya dan kemudian dari situ kami bertindak. Jika kami tidak dapat mengesannya kami tidak boleh melakukan langkah seterusnya,” timbalan jurucakap polis kebangsaan, Kolonel Krissana Pattanacharoen memberitahu AFP.

    Pegawai-pegawai imigresen memberitahu media tempatan bahawa Worayuth telah pergi ke Singapura dengan menaiki jet peribadinya pada 25 April.

    Pihak polis berusaha mengesahkan sama ada dia masih berada di Singapura.

    Kedua-dua negara tidak mempunyai perjanjian penyerahan balik.

    Krissana berkata para penyiasat berusaha untuk membatalkan pasport Thailand Worayuth.

    “Kami telah menghubungi Kementerian Hal Ehwal Luar untuk mengetahui jika pasportnya boleh dibatalkan,” ujarnya.

    Jurucakap wanita bagi kementerian itu, Busadee Santipitaks memberitahu AFP “Kami tidak menerima sebarang perhubungan rasmi tetapi bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi penguat kuasa undang-undang.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda