Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thailand buru 10 perompak kedai emas

    NARATHIWAT, 6 OKT – Polis Thailand sedang memburu sekumpulan 10 lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian rompakan sebuah kedai emas dan melarikan barang kemas bernilai lebih 35 juta Baht di sebuah pasar raya di Sungai Kolok di Narathiwat, petang kelmarin.

    Ketua Polis Siasatan Wilayah Sempadan Selatan, Mejar Jeneral Polis Chumpol Saksurimongkol, berkata dalam kejadian kira-kira 6:30 petang waktu tempatan itu, kumpulan bersenjata berkenaan telah merompak kedai emas di dalam pasar raya terbabit sebelum melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota tentera yang bertugas berhampiran.

    Beliau berkata suspek melarikan lebih sembilan kilogram emas menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda yang curi.

    Menurutnya, siasatan juga menunjukkan seramai 20 suspek dipercayai terlibat dalam jenayah terancang itu, termasuk dalam jenayah rompakan, kecurian kenderaan dan pemasangan bom.

    “Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini telah merancang jenayah berkenaan dengan teliti, termasuk melibatkan anggota lain untuk memasang bom paku berhampiran pasar raya bagi mengganggu operasi pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, hari ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda