Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thailand buru lelaki Malaysia didakwa terlibat rompak kedai emas

    SONGKHLA, 9 APRIL – Polis Thailand sedang mengesan seorang warga emas dipercayai rakyat Malaysia yang merompak sebuah kedai emas di Hat Yai, kelmarin.

    Ketua Polis Bahagian Ke-9, Leftenan Jeneral Polis, Piyawat Chalermsi, berkata lelaki berusia 61 tahun itu bertindak bersendirian dan menyamar sebagai pelanggan sebelum memasuki sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai pada kira-kira 11:50 pagi.

    “Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang bersenjatakan pistol melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta),” katanya kepada
    pemberita selepas melawat tempat kejadian, hari ini.

    Beliau berkata suspek yang mempunyai rekod lampau termasuk rompakan bersenjata melarikan diri dengan menggunakan motosikal.

    “Polis telah menemukan motosikal yang dipercayai digunakan suspek tidak jauh dari lokasi kejadian, dan ia telah dihantar ke bahagian forensik untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Piyawat menegaskan pasukan keselamatan telah memperketat kawalan sempadan bagi menghalang suspek melarikan diri.

    Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan polis Thailand bagi membantu siasatan kes itu.

    “Setakat ini, pihak berkuasa Thailand sedang melakukan siasatan lanjut untuk memastikan identiti suspek sama ada benar merupakan warga Malaysia atau sebaliknya,” katanya. – Bernama

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek yang bersenjatakan pistol memasuki sebuah kedai emas di Hat Yai, Thailand. – Malaysia Today
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda