Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thailand minta bantuan Bukit Aman

    BANGKOK, 14 Jan – Polis Diraja Thailand (RTP) meminta kerjasama Bukit Aman untuk mengesan saki-baki satu sindiket penipuan pusat panggilan berikutan tertangkap enam anggotanya warga Malaysia di Bangkok baru-baru ini.

    Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Diraja Malaysia Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang berkunjung ke Thailand baru-baru ini.

    “Mereka (RTP) meminta kerjasama kita (Bukit Aman) untuk mengesan saki-baki anggota sindiket penipuan itu berikutan penangkapan enam anggotanya di Bangkok baru-baru ini,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, permohonan kerjasama daripada RTP untuk mengesan saki baki anggota sindiket penipuan terbabit di Malaysia disuarakan ketika pertemuan beliau dengan rakan sejawatan Polis Thailand baru-baru ini.

    Wan Ahmad Najmuddin yang berada di sini untuk menghadiri majlis penyerahan 20 kenderaan curi Malaysia, kebanyakannya kereta mewah termasuk sebuah Bentley di ibu pejabat RTP berkata, kedua-dua pasukan polis mempunyai hubungan kerjasama yang amat rapat.

    “Hubungan (antara PDRM dan RTP) yang rapat ini telah lama dan merangkumi pelbagai bidang kerjasama,” katanya.

    Bernama difahamkan beberapa individu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu dan berkemungkinan merupakan ‘dalang utama’ operasi penipuan sindiket itu, berada di beberapa negeri di Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda