NARATHIWAT, 3 OGOS – Polis Thailand memohon bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan dua pemilik gudang penyimpanan mercun dan bunga api yang meletup dalam satu kejadian di Mundok, Sungai Kolok, Narathiwat, yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia.
Timbalan Ketua Polis Thailand Lt Jen Surachate Hakpar berkata polis telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua individu warga Thailand itu, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 42 tahun.
“Kami akan menghubungi Polis Diraja Malaysia untuk membantu mengesan kedua-dua pemilik gudang ini,” katanya.
Seramai 12 orang maut, manakala 300 cedera dalam insiden letupan di gudang penyimpanan mercun dan bunga api berkenaan pada 29 Julai lepas. – Bernama