Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Thailand pantau kemalangan jalan raya semasa Songkran

    BANGKOK, 10 APRIL – Polis Thailand menubuhkan pusat pemantauan bagi mencegah dan mengurangkan kemalangan jalan raya semasa penganjuran Festival Songkran.

    Dalam kenyataan hari ini, Polis Thailand berkata pusat itu akan beroperasi mulai hari ini hingga 18 April, bertujuan untuk menggalakkan integrasi dengan agensi kerajaan dan swasta untuk mengurangkan faktor risiko kemalangan jalan raya secara menyeluruh.

    Katanya, inisiatif itu termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan mempromosikan kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya.

    “Pusat ini bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya dan memudahkan perjalanan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman dengan selamat,” katanya.

    Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Pol Lt Jen Kornchai Klaykiueng merasmikan pusat itu sempena Festival Songkran.

    Orang ramai menggunakan pistol air mainan untuk menyembur air semasa pertarungan air besar-besaran semasa mereka meraikan Songkran, Tahun Baharu Thai, di Bangkok, Thailand pada April 2018 lalu. Polis tubuhkan pusat untuk memantau kemalangan jalan raya sempena Songkran bermula kelmarin. – AFP

    Tahun lepas, statistik menunjukkan 264 orang kehilangan nyawa dalam 2,203 nahas jalan raya sepanjang tujuh hari sambutan Songkran dari 11 hingga 17 April. Seramai 2,208 orang cedera dalam kemalangan jalan raya semasa tempoh cuti Songkran.

    Songkran disambut setiap tahun dari 13 hingga 15 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand. Perayaan ini terkenal dengan aktiviti meriah menyimbah air serta perarakan berwarna-warni.

    Ia secara rasmi tertulis dalam Senarai Perwakilan UNESCO bagi Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (ICH) pada Disember tahun lepas.

    Sementara itu, Gabenor Bangkok Chatchart Sitthiphan berkata terdapat 118 lokasi di seluruh Bangkok untuk menganjurkan aktiviti Songkran.

    “Orang ramai boleh mengakses aplikasi web yang menunjukkan peta lokasi festival Songkran di seluruh Bangkok. Inisiatif ini disediakan oleh pihak berkuasa Bangkok untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai lokasi, masa dan tahap keberadaan acara itu di setiap lokasi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda