TOKYO, 16 MEI – Polis dan kastam Tokyo telah membuat rampasan terbesar setakat ini melibatkan dadah anestetik ketamin, yang dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Haneda dalam dua buah beg pakaian.
Pihak Kastam Tokyo hari ini memaklumkan bahawa mereka telah memfailkan aduan jenayah terhadap seorang wanita warga Perancis yang disyaki cuba menyeludup kira-kira 40 kilogram ketamin ke Jepun melalui bagasinya.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai seorang tukang masak berusia 21 tahun, ditahan oleh pihak kastam di Lapangan Terbang Haneda selepas tiba dari Jerman pada bulan April, menurut pegawai kastam Tokyo.
Dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai sekitar 920 juta yen (AS$8.8 juta) di pasaran gelap, menurut laporan stesen televisyen Jepun, NHK.
Ketamin ialah ubat bius kuat yang diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat untuk digunakan semasa pembedahan. Ia boleh diberikan melalui suntikan intramuskular atau secara intravena.
Dadah tersebut sering disalah guna untuk tujuan rekreasi kerana kesan euforia yang diberikannya, tetapi ia juga boleh menyebabkan halusinasi serta menjejaskan pernafasan dan fungsi jantung. – AP
