Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis tumpas 5 kumpulan sindiket seludup migran

    ALOR SETAR, 10 SEPT – Polis menumpaskan lima kumpulan sindiket penyeludupan migran yang aktif di negeri ini dengan penahanan 12 ejen sindiket warga tempatan dan Myanmar menerusi Op Pintas pada 15 Ogos hingga 7 September lepas.

    Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata operasi turut menahan 47 migran warga Myanmar berusia antara 15 hingga 50 tahun yang diseludup masuk melalui jalan laut dan darat di sekitar Langkawi dan Kubang Pasu.

    “Kesemua kumpulan sindiket ini tidak berkaitan, bagaimanapun modus operandi mereka sama iaitu dengan menyeludup migran masuk ke negara ini melalui jalan laut dan darat serta mempunyai hubungan dan kerjasama dengan ejen sindiket di Yangon, Myanmar.

    “Kesemua migran ini telah dijanjikan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi di negara ini dan mereka perlu membuat pembayaran antara RM5,000 hingga RM7,000 seorang kepada ejen sindiket berkenaan,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

    Sementara itu, Fisol berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah bagi berbincang dan memaklumkan berhubung pembolosan masuk migran di kawasan pagar sempadan negara.

    “Tindakan perlu diambil segera di sempadan berpagar, begitu juga sempadan laut dan seperti sedia maklum, Langkawi merupakan tempat transit… apabila mendarat di Langkawi itu sudah dikira berada dalam kawasan domestik, jadi mereka boleh ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis tanpa memerlukan sebarang dokumen,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Fisol berkata pihaknya berjaya menggagalkan aktiviti penyeludupan minyak diesel di sekitar kawasan sempadan Kubang Pasu dalam operasi bermula 31 Ogos hingga 8 September lepas.

    “Sepanjang tempoh itu, polis berjaya merampas 7,950 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah lebih RM17,000 daripada diseludup keluar ke negara jiran. Turut ditahan, tujuh lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 50 tahun,” katanya.

    Beliau berkata kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. – Bernama

    Ketua Polis Kedah pada sidang media mengenai operasi pembenterasan jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda