KUALA LUMPUR, 22 SEPT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian dengan penahanan 24 individu termasuk seorang warga tempatan menerusi dua serbuan berasingan, minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata serbuan pertama dilakukan pada kira-kira 4 petang, 18 September lepas di dua unit kediaman di Lorong Binjai, selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa di China.
“Dalam serbuan itu, polis menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berumur antara 18 hingga 45 tahun yang dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
“Pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan digunakan untuk aktiviti penipuan, termasuk lima komputer riba, 23 telefon bimbit, satu set modem dan kad akses,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata serbuan kedua dilakukan di lima unit kediaman di Persiaran KLCC pada kira-kira 5 petang 19 September, selepas menerima maklumat kegiatan penipuan pelaburan mata wang kripto yang menyasarkan mangsa di Jepun. – Bernama


