Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Pasukan Polis Diraja Brunei telah berjaya menumpaskan kegiatan judi dan menahan tiga orang suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua orang warga asing dalam serbuan di Kampung Tanjung Bunut, kelmarin.
Serbuan dibuat oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah berikutan perkongsian maklumat yang diterima daripada orang awam mengenai perjudian ‘4 digit loteri’.
Suspek, Erny Suwandy bin Untong 45, Ting Siang Kiat, 21, warga Malaysia dan Mohammad Billal Hossain, 52, warga Bangladesh diberkas dipercayai terlibat dengan kegiatan perjudian berkenaan.
Dalam serbuan mengejut pada 4:50 petang itu turut merampas barangan bukti yang digunakan dalam perjudian tersebut termasuk wang tunai, kertas nombor dan slip pertaruhan.
Semua suspek yang ditangkap dan barang rampasan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka.