KUALA LUMPUR, 23 JUN – Cubaan satu sindiket antarabangsa menyeludup dadah jenis kokain dalam bentuk katrij vape melalui Malaysia terbongkar apabila polis berjaya menahan empat individu dan merampas hampir 5,000 katrij bernilai RM 7.2 juta dalam serbuan di Ampang Jaya, Khamis lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan tiga lelaki warga Singapura berumur antara 25 hingga 46 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan kira-kira 11:45 pagi itu, pasukan JSJN menahan sebuah Toyota Vellfire di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di ibu negara dan menemui 10 kotak mengandungi 4,958 katrij vape disyaki mengandungi cecair kokain dengan anggaran berat 9,420 mililiter (ml).
“Dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM7.2 juta dan siasatan mendapati sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum penghantaran melalui perkhidmatan kurier udara ke pasaran antarabangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurut Mat Zani, siasatan awal mendapati sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak Mac lepas menyewa sebuah premis kondominium Airbnb di Ampang dengan kadar RM300 sehari sebagai lokasi memproses dan membungkus katrij kokain bagi penghantaran ke luar negara. –Bernama


