Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Polis tumpas sindiket dadah libatkan rampasan lebih RM650,000

    MELAKA, 30 JAN – Polis Melaka menumpaskan satu sindiket dadah membabitkan nilai rampasan sebanyak RM650,369 dalam satu serbuan di Taman Saga, Malim pada Ahad lepas.

    Timbalan Ketua Polis Melaka SAC, Md Nazri Nawawi berkata seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand berumur antara 25 hingga 27 tahun turut ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam serbuan kira-kira 8:15 malam itu.

    Beliau berkata antara dadah yang dirampas ialah cecair ketamin seberat 279.84 liter, pil Erimin 5 sebanyak 0.551 kilogram (kg), pil ekstasi (0.26 kg), ketamin (6.734 kg), serbuk ketamin (5.25 kg), serbuk ekstasi (1.224 kg) dan sepucuk pistol jenis CZ 85 H 1.

    “Polis juga menyita harta milik ketiga-tiga suspek bernilai RM39,147 membabitkan sebuah kereta jenis Proton BLM, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM803.

    “Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak empat bulan lepas dan kesemua dadah dirampas dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh 69,597 penagih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Md Nazri berkata seorang daripada tiga suspek berkenaan mempunyai rekod lampau dalam aktiviti jenayah, namun ketiga-tiganya negatif saringan ujian air kencing.

    Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 4 Feb bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

    “Polis Melaka sentiasa berharap agar masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan di sekitar kawasan masing-masing.” – Bernama 

    Gambar hiasan Freepik

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...