Polis tumpas sindiket Love Scam

SEREMBAN, 9 JULAI – Menggunakan taktik ‘tawaran bekerja’ sebagai modus operandi, sindiket Love Scam yang  telah bergiat aktif sejak 2017 melibatkan nilai kerugian sebanyak RM1.55 juta, akhirnya ditumpaskan polis Negeri Sembilan.

Seramai 15 warga Afrika termasuk dua wanita berusia 25 hingga 43 tahun turut diberkas dalam serbuan yang dijalankan pada 2 Julaihingga 7 Julai lepas, di tiga kediaman yang disewa mereka di sekitar Port Dickson, Mambau dan Puchong, Selangor.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata sindiket ini ditumpaskan hasil siasatan ke atas satu laporan yang dibuat seorang mangsa pada 19 Januari lepas, selepas ditipu anggota sindiket yang menjanjikan tawaran bekerja sebagai juruterbang dengan melibatkan kerugian sebanyak RM27,260. Katanya, mangsa seorang lelaki berusia 38 tahun telah dijanjikan tawaran bekerja dengan syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines oleh seorang lelaki yang dikenalinya di laman sosial Facebook, pada Disember 2018 lepas.

“Pada 18 Januari lepas, mangsa telah memasukkan wang dalam tiga akaun atas penama yang berbeza selepas diminta berbuat demikian oleh suspek, mangsa hanya sedar ditipu selepas gagal menemui suspek di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini. – Bernama

Tun Dr Mahathir Mohamad diberi penerangan mengenai alat A-Clips semasa melawat pameran sempena Persidangan TVET dan Sesi Dialog Bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Industri kelmarin. – Bernama