PENAMPANG, 31 Okt – Polis menumpaskan kumpulan pecah rumah ‘Geng Wan’ yang dipercayai terbabit dalam lima kes di kawasan perumahan Cybercity di sini setelah empat anggotanya diberkas di sekitar kawasan perumahan itu semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang DSP Mohd Haris Ibrahim berkata kesemua suspek yang berusia lewat 20-an termasuk seorang pemandu Grab, diberkas antara 9:30 dan 10 malam.
Dua suspek pertama ditangkap di kawasan letak kereta pada 9.30 malam yang seterusnya membawa kepada tangkapan dua lagi suspek serta penemuan pelbagai barang curi termasuk sebuah kereta dengan nilai keseluruhan RM37,000, katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau berkata keempat-empat lelaki terbabit yang merupakan warga tempatan juga positif dadah.
“Mereka ini aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah di kawasan perumahan Cybercity sejak awal bulan ini,” katanya. Mengulas kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang lelaki Filipina berumur 29 tahun di depan sebuah hotel di sini selepas pemeriksaan terhadapnya menemukan satu peket plastik mengandungi hablur lut sinar seberat 50.50 gram disyaki dadah jenis syabu. – Bernama