BANGKOK, 31 MEI – Polis Thailand berjaya menumpaskan satu rangkaian besar yang secara haram membantu warga asing, kebanyakannya warga Rusia, untuk tinggal di Thailand jangka panjang melalui penggunaan penama syarikat atau syarikat palsu, kata pegawai, hari ini.
Polis berkata seorang wanita Rusia berusia 45 tahun yang datang ke Thailand pada tahun 2012 mengendalikan skim tersebut dengan seorang wanita Thailand yang disenaraikan sebagai eksekutif atau pemegang saham lebih daripada 270 syarikat di wilayah selatan Phuket.
Warga asing boleh mengendalikan perniagaan di Thailand, tetapi ia mesti merupakan usaha sama dengan rakan kongsi Thailand kecuali dalam kes tertentu dan mereka tidak boleh memiliki lebih daripada 49 peratus untuk melindungi daya saing tempatan.
Defendan menawarkan perkhidmatan di mana warga asing boleh disenaraikan sebagai pemegang saham perniagaan dengan rakan kongsi Thailand atau diambil bekerja oleh syarikat palsu yang dimiliki oleh warga Thailand untuk mendapatkan permit kerja, kata Puttidej Bunkrapue, komander Bahagian Penindasan Jenayah Ekonomi polis.
Seramai 98 warga asing, termasuk 68 warga Rusia, telah dituduh mengendalikan perniagaan tanpa permit, yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda AS$27,000, kata polis. Di samping itu, 37 warga Thailand dituduh dengan kesalahan berkaitan rangkaian tersebut.
Pegawai berkata rangkaian itu berkemungkinan telah beroperasi sejak tahun 2016, tetapi terdapat peningkatan mendadak dalam pelanggannya sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022. – AP
