Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Polis tumpaskan sindiket seludup dadah ke Sarawak

    SHAH ALAM, 24 APRIL – Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah ke Sarawak dengan penahanan dua buruh binaan dan merampas pelbagai dadah bernilai RM1.76 juta di dua lokasi berasingan, pada Isnin lepas.

    Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata, lelaki tempatan dan warga asing berusia 29 dan 44 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ketika cuba menaiki penerbangan ke Sarawak, pada 4:11 pagi.

    “Kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan dan ditahan ketika proses imbasan bagasi yang membawa kepada penemuan 7,000 gram dadah jenis Methamphetamine, pil eramin 5 seberat 5,950 gram dan pil ekstasi seberat 61 gram.

    “Dadah berkenaan dijumpai disorok di dalam satu beg sandang dan satu bagasi milik kedua-duanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.

    Sasikala Devi berkata susulan tangkapan itu, polis kemudiannya menyerbu kondominium yang disewa dua lelaki terbabit di Seri Kembangan, Selangor dan merampas 9,000 gram pil eramin 5 dan 169.65 gram ketamin, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.76 juta.

    Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menggunakan penerbangan bagi mengaburi pihak berkuasa dengan dipercayai aktif menyeludup dadah ke Sarawak sejak empat bulan lepas.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah beberapa kali menggunakan kaedah penerbangan bagi tujuan tersebut dan semasa kejadian, mereka dijangka berlepas ke Sibu, iaitu satu daripada pasaran pengedaran dadah sindiket itu,” katanya.

    Sasikala Devi berkata lelaki warga tempatan itu didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala kedua-dua lelaki berkenaan positif terhadap dadah jenis amphetamine serta Methamphetamine. – Bernama

    Datuk Sasikala Devi semasa sidang media mengenai kejayaan anggota polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di KLIA dan Seri Kembangan, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...