Polis Tunisia tahan lebih 600 perusuh

TUNIS, 19 JAN – Pihak berkuasa Tunisia berkata semalam mereka telah menahan lebih 600 orang dan menghantar tentera selepas rusuhan untuk hari keempat berturut-turut, kebanyakannya oleh orang muda di daerah kelas kerja beberapa bandar.

Pergolakan meletus meskipun sekatan pandemik koronavirus di seluruh negara diisytiharkan pada Khamis – hari sama yang menandakan 10 tahun sejak penunjuk perasaan menyingkirkan diktator Zine El Abidine Ben Ali.

Jurucakap kementerian dalam negeri Khaled Hayouni berkata 632 orang telah ditahan, terutamanya ‘kumpulan di antara usia 15, 20 dan 25 yang membakar tayar dan tong sampah untuk menyekat pergerakan anggota keselamatan.’

Pergolakan sosial berlaku pada masa krisis ekonomi, diburukkan lagi oleh pandemik, yang telah mencetuskan inflasi dan pengangguran belia yang tinggi dan mendorong ramai orang meninggalkan negara Afrika Utara itu.

Beberapa orang yang ditahan melontar batu pada polis dan bertempur dengan anggota keselamatan, meninggalkan dua anggota polis cedera, kata Hayouni.

“Ia tidak ada kaitan dengan gerakan bantahan yang dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan,” menurut beliau. “Bantahan berlaku pada siang biasanya, tanpa sebarang perbuatan jenayah.”

Tentera dihantar ke beberapa kawasan, kata jurucakap kementerian pertahanan Mohamed Zikri.

Amnesti Antarabangsa berkata kebanyakan orang yang ditahan adalah golongan di bawah umur di antara 14 dan 15 tahun, dan menggesa pihak berkuasa supaya mengelak daripada menggunakan ‘kekerasan melampau’ dan memastikan untuk mendukung hak mereka yang ditahan. – AFP

Pembantah berdiri di tengah asap ketika mereka menyekat jalan semasa pertempuran dengan anggota keselamatan di Ettadhamen, pinggir bandar Tunis pada 18 Januari 2021. – AFP