Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Polis Turkiye tahan 121 orang hasilkan minuman beralkohol

    ISTANBUL, 6 OGOS – Turkiye telah menahan 121 orang yang dituduh membuat arak secara haram, dengan polis merampas lebih 33,000 liter arak, kata Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, kelmarin.

    Harga dan cukai alkohol yang tinggi telah menyebabkan lonjakan dalam pengeluaran arak secara rahsia di Turkiye, dengan kira-kira 152 orang terbunuh pada Januari dan Februari akibat meminum minuman tercemar, menurut angka dari agensi akhbar negara Anadolu.

    Yerlikaya berkata, penahanan itu berlaku dua minggu lepas di seluruh 81 wilayah Turkiye, dengan sebahagian besar rampasan berlaku di Istanbul dan hab pelancongan selatan Antalya.

    “Pasukan polis kami telah menahan 121 suspek dan 33,554 liter arak telah dirampas”, tulisnya di X.

    “Pengeluaran alkohol secara rahsia bukan sahaja dianggap jenayah, ia juga adalah perangkap maut yang mengancam kesihatan awam,” tambah Yerlikaya, dengan menggesa orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

    Alkohol haram sering dicemari dengan metanol, bahan toksik yang boleh menyebabkan buta, kerosakan hati dan kematian.

    Walaupun Turkiye sebuah negara sekular, cukai alkohol telah meningkat secara mendadak di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan, seorang Muslim yang lantang menentang minuman keras. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda